YAA Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Md Yunos dilahirkan di Kg. Kuala Bera, Pahang Darul Makmur pada 7hb Mei 1956 bersamaan 26 Ramadhan 1375 H. Beliau merupakan anak sulung daripada 3 orang adik beradik. Berkahwin dengan Noriah bte Yusoh pada 1984 dan dikurniakan 5 orang cahaya mata 3 lelaki dan 2 perempuan.

yaadatosriMendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kuala Bera pada tahun 1963 sehingga 1968. Mendapat tawaran belajar di Sekolah Abu Bakar Temerloh (ABS) pada tahun 1969 tetapi atas kehendak ayah dan ibu supaya belajar di Sekolah Agama maka beliau di hantar ke Pondok dan Sekolah Agama Rakyat Ittifaqiah Kg. Guai Temerloh dari tahun 1969 sehingga 1972. Pada tahun 1972 pernah dilantik sebagai ketua murid.

Kemudian beliau menyambung pelajaran ke tingkatan 5 di Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah Temerloh pada tahun 1973 dan mengambil Sijil Menengah Agama. Pada tahun 1973 juga beliau dilantik sebagai Pengawas Sekolah. Selanjutnya beliau menyambung pengajian di Kuliah Lughah Waddin Sultan Abu Bakar Pekan pada tahun 1974 sehingga 1976 untuk mengambil Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Ugama. Semasa di Kuliah S.A.B. Pekan beliau memegang jawatan sebagai Ketua Kebajikan Asrama Putra, Pengawas Perpustakaan, Setiausaha Badan Dakwah dan Ilmiah dan mewakili sekolah dalam bahas Bahasa Arab dan Bahasa Malaysia.

Beliau bercita-cita hendak melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar Mesir sebaik mendapat Sijil Tinggi Ugama Negeri Pahang dengan dengan mendapat pangkat B+. Oleh kerana pada tahun 1977 biasiswa tidak dikeluarkan maka beliau terpaksa menyambung pengajian ke Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan Nilam Puri Kelantan pada tahun 1977 sehingga 1980 dalam fakulti Syariah dan Undang-Undang. Di YPTIK Nilam Puri beliau aktif dalam persatuan pelajar sebagai Ketua Pelajar Pahang, Pengerusi Badan Dakwah dan Timbalan Presiden Persatuan Siswa YPTIK Nilam Puri Kelantan.

Sebaik sahaja tamat tahun 3 di YPTIK pada tahun 1980 beliau mendapat biasiswa Kerajaan Pahang untuk melanjutkan pelajaran di tahun 4 di Universiti Al-Azhar pada sesi 1981-1982 dalam bidang Syariah dan Undang-Undang. Di Mesir beliau aktif dalam Persatuan Melayu Mesir dan memegang jawatan sebagai Ketua Biro Penerangan dan Dakwah. Sebaik selesai belajar dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang pada tahun 1982, beliau menunaikan fardhu haji dan seterusnya balik ke Malaysia.

Memulakan kerjaya sebagai guru agama dan guru Bahasa Arab di Sekolah Menengah Agama Berhala Gantang selama setahun dan pada pertengahan tahun 1984 beliau mendapat tawaran menjadi Qadhi dan ditempatkan di Cameron Highland Pahang. Pada tahun 1987 beliau ditukarkan ke Kuala Lipis. Semasa menjadi Qadhi di Kuala Lipis beliau telah menyambung pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia untuk mengambil Diploma Undang-Undang dan Pentadbiran Kehakiman Islam selama setahun sesi 1989-1990.

Pada tahun 1992 beliau ditukarkan ke Pekan Pahang sebagai Qadhi Pekan dan memangku jawatan Qadhi Besar Pahang. Beliau juga mengikuti kursus Bahasa Inggeris di Muslim College London pada tahun 1994. Berikutan perpisahan Mahkamah Syariah dari Jabatan Agama Islam, maka pada bulan November 1995 beliau dilantik oleh KDYMM Sultan Pahang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Pahang.

Di antara jawatan yang disandang semasa beliau menjadi Qadhi ialah YDP Abim Daerah, Pengerusi Perkim Daerah, AJK Persatuan Ulamak, AJK Persatuan Bekas Mahasiswa Timor Tengah, Pengerusi PIBG, Pengerusi Persatuan Pegawai Agama Pahang dan Pengerusi Masjid-Masjid Daerah. Sebaik sahaja di lantik sebagai Hakim Syarie maka beliau melepaskan semua jawatan kecuali Persatuan Pegawai Syariah.

Atas khidmatnya di Negeri Pahang, maka KDYMM Sultan Pahang telah mengurniakan Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) pada tahun 1991, Setia Mahkota Pahang (SMP) pada tahun 1997, Darjat Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 2005 dan Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato' Sri pada tahun 2017 . Beliau juga mendapat Anugerah Cemerlang pada tahun 1995 dan tahun 2007.

 

Saturday the 15th. Laman web rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Pahang | Syariah Asas Keadilan | Tel : 09-517 7966 | Fax : 09-513 4805 | e-mail : jksp@esyariah.gov.my.