mantankhs
 

Dilahirkan di Kg. Kelola, Jerantut, Pahang pada subuh hari Rabu 25 Rabiulawwal 1365 bersamaan dengan  27hb Mac 1945. Berkahwin dengan Datin Hajjah Rosina Binti Mohamad Ghazali dan dikurniakan 4 orang cahaya mata iaitu 3 lelaki dan 1 perempuan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kelola, Jerantut, Pahang, manakala di sebelah petangnya belajar agama di sekolah yang sama. Setelah tamat sekolah rendah, beliau menyambung pelajaran menengahnya di Madrasah Al-Junied Al Islamiah, Singapura sehingga tahun 1967.

Bagi menambah pengetahuannya beliau mengikuti kelas Trengkas Melayu Kaedah Greg di Trengkas Melayu Institute Malaya di Bencoolen Street Singapura dan memperolehi Diploma Perguruan Trengkas. Di samping itu beliau mengikuti kelas Bahasa Inggeris secara persendirian di sekolah swasta dan akhirnya belajar secara formal di Katong Secondary School anjuran Kementerian Pelajaran Singapura di bawah program Adult Education Board (Lembaga Gerakan Pelajaran Dewasa Singapura). Semasa belajar di Madrasah Al-Junied Al Islamiah, Singapura, beliau pernah di tawarkan biasiswa oleh Kerajaan Saudi Arabia untuk belajar di Universiti Madinah. Walau bagaimanapun, beliau menolaknya kerana hasrat beliau ialah untuk belajar di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Perpisahan Singapura dari Malaysia pada tahun 1963 memaksa beliau kembali semula ke negeri kelahirannya Pahang. Dengan tekad baru beliau memulakan pengajiannya di Kuliah Al-Lughah Waddin Sultan Abu Bakar Pekan di tahun akhir pada tahun 1968 dan menamatkan pengajiannya di tahun yang sama. Beliau menjadi tenaga pengajar Bahasa Arab di Sekolah Menengah Agama Al-Ulum Diniah, Dong, Raub di sekitar tahun 1969 hingga 1971. Bagi mencapai hasrat dan cita-cita beliau sendiri, sejak belajar di Madrasah Al-Junied Al Islamiah, Singapura di samping galakan dari kedua ibu bapa dan guru-guru untuk menyambung pelajaran Tinggi Agama di Universiti Al-Azhar, Kaherah, tawaran Biasiswa Pelajaran Tinggi Agama Islam Pahang pada tahun pengajian 1971/1972 diterima.

Beliau mengambil pengajian di dalam Kuliyyah Syariah Wal Qanun dan menamatkan pengajiannya serta memperolehi ijazah pertamanya pada tahun 1977. Nama “Ibn Al Kalawie”, “ Ham Kalawie” dan “ Hamid Kalawie” tidak asing bagi pelajar-pelajar seangkatan dengannya samaada di Singapura mahupun di Kaherah. Bergiat cergas di dalam Persatuan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir “PMRAM” dengan memegang jawatan Anggota Badan Penasihat PMRAM selaku setiausahanya. Pernah juga menjadi setiausaha Agong PMRAM, di samping menduduki Jawatankuasa “ Solidarity Council Of the South East Asia Students’ Association”. Beliau juga pernah menjadi Ketua Pelajar-Pelajar Pahang di Kaherah. Di dalam bidang penulisan pula, beliau telah menyumbangkan tulisannya dalam majalah ‘Dewan Pelajar’ terbitan Dewan bahasa dan Pustaka mengenai kehidupan dan kebudayaan masyarakat Mesir untuk pengetahuan pelajar-pelajar tanahair di bawah tajuk “Surat Dari Kaherah” selama satu tahun dengan menggunakan nama samaran “HamKalawie”.   KERJAYA     Sekembalinya beliau ke tanahair di penghujung tahun 1977, beliau memulakan kariernya sebagai Qadhi Daerah Jerantut dan di tauliahkan pada 19.01.1978.

Setelah beberapa bulan bertugas di tempatnya beliau telah ditukarkan ke Pejabat Qadhi Daerah Rompin mulai 10.04.1978. Mulai 02.01.1983 beliau ditukarkan ke Pejabat Qadhi Daerah Maran dan Chenor sehingga 31.12.1984. Mulai 09.01.1985 beliau ditukarkan ke Pejabat Qadhi Daerah Pekan. Beliau telah di naikkan pangkat ke jawatan Pegawai Hal Ehwal Agama Islam Tingkatan Kanan mulai 01.04.1987 dan memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Pahang.   

Mulai 07.08.1989 beliau sekali lagi telah di naikkan pangkat ke Gred S2 dalam skim yang sama dan memegang jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah di Jabatan Agama Islam Pahang. Bagi mendalami pengetahuan dari sudut undang-undang, maka pada tahun 1988, dengan biasiswa tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, beliau mengikuti Kursus Diploma Undang-Undang Pentadbiran Kehakiman Islam di Universiti Islam Antarabangsa Kuala Lumpur dan Berjaya memperolehi Diploma. Dalam tahun 1992 beliau diberi peluang sekali lagi mengikuti Kursus Khas Pegawai-Pegawai Agama Malaysia di Muslim Colege, London selama enam bulan.     Berikutan kelayakan dan kecemerlangan perkhidmatannya, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri telah melantik beliau memasuki Skim Perkhidmatan Pegawai Syariah secara Tukar Lantik dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang telah memperkenankan perlantikan tersebut dan bersetuju mentauliah beliau sebagai Ketua Hakim Syarie, Mahkamah Syariah Negeri Pahang Darul Makmur mulai 19.01.1995. ANUGERAH / PINGAT

Atas khidmatnya di Negeri Pahang, maka KDYMM Sultan Pahang telah mengurniakan Pingat Khidmat Cemerlang Pahang (PKC) pada tahun 1988, Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia Peringkat Keempat Ahli Mahkota Pahang (AMP) pada tahun 1992 dan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Dimulia iaitu Peringkat Kedua Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) pada tahun 1997. Pada 07 Disember 2010, sempena Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Tahun 1432 Hijrah / 2010 Masihi, KDYMM Sultan Pahang telah berkenan mencemar duli, menyampaikan anugerah (Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1432 H) kepada bekas Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang, Dato' Abdul Hamid Abdul Rahman bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Teluk Sisek, Kuantan.

Tanggal 28 November 2012, Y.Bhg Dato’ Haji Abdul Hamid Bin Abdul rahman telah kembali ke rahmatullah iaitu bersamaan dengan 14 Muharam 1434H. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T. dan ditempatkan dikalangan solihin.

idriss
 

Telah dilahirkan di Kampung Pulau Tawar, Jerantut, Pahang pada 29 Januari 1947. Telah berkahwin pada tahun 1982 dan mempunyai lima orang anak.

Dari segi pendidikan, beliau telah lulus Syahadah Ibtidaiyah Madrasah Al-Attas, Johor Bahru dan lulus Syahadah Sanawiyah Ma’ahad Johor, Johor Bahru. Telah Mendapat Ijazah Sarjana Muda Perundangan Islam dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau juga memperolehi Diploma Undang-Undang dan Kehakiman Islam dari Universiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Mula dilantik sebagai Qadhi Daerah pada tahun 1984 dan telah bertugas sebagai Qadhi di Daerah Bentong, Raub dan Pekan. Beliau ditukarkan ke Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan, Jabatan Agama Islam Pahang sebagai Ketua Penolong Pengarah sehinggalah beliau ditawarkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di Mahkamah Syariah Negeri Pahang.

Dari segi kegiatan sosial pula beliau telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Persatuan Kebajikan Pegawai/Kakitangan Hal Ehwal Islam, Jabatan Agama Islam Pahang, Ahli Jawatankuasa PERKIM, Bahagian Negeri Pahang dan telah dipilih sebagai Ketua Biro Dakwah PERKIM Negeri dan menjadi salah seorang tenaga pengajar Majlis Ilmu/ Kulliah Maghrib Masjid Hidayah, Batu 4, Kuantan.

shariff
 

Telah dilahirkan di Kampung Kuala Wau, Maran, Pahang pada 8 April 1944. Telah berkahwin tahun 1973 dan mempunyai tujuh orang anak. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kampung Kuala Wau, Maran sehingga tamat darjah enam. Di sebelah petangnya beliau belajar di Kelas Agama di sekolah yang sama sehingga tamat Kelas III.

Mula belajar di Sekolah Agama Arab Al Khairiyah Temerloh sehingga tamat darjah enam. Beliau telah menyambung pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir dan mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Undang-Undang Syariah (Syaeratul Wal Kanun). Telah mengikuti pengajian di Univerisiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur dan berjaya memperolehi Undang-Undang Kehakiman Islam. Mula bertugas dalam Perkhidmatan Awam pada 3 Julai 1974 sebagai Qadhi Daerah Maran. Kemudian bertukar ke Daerah Bentong dan Raub di samping memangku sebagai Qadhi Daerah Lipis, Bentong dan Temerloh. Pada 1 April 1987 dinaikkan pangkat ke jawatan Pegawai Hal Ehwal Islam Tingkatan Kanan.

Pada tahun 1990 ditukarkan ke Ibu Pejabat Jabatan Agama Islam Pahang sebagai Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah dan pada Disember 1991 bertukar ke Temerloh mengetuai Bahagian Dakwah Zon Pahang, Temerloh.Dari segi kegiatan sosial pula beliau pernah dilantik menjadi Ahli Panel Hakim Mahkamah Ulangbicara Syariah Pahang

Monday the 18th. Laman web rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Pahang | Syariah Asas Keadilan | Tel : 09-517 7966 | Fax : 09-513 4805 | e-mail : jksp@esyariah.gov.my.