Merujuk kepada surat kuasa pelantikan Qadhi Besar dan Qadhi pada tahun 1921, maka kuasa yang diberi kepada Mahkamah Syariah ialah dalam kes Mal yang membicarakan kes-kes nikah perempuan yang tiada wali, kes-kes cerai seperti Taklik, Fasakh, Tebus Talak, Harta Sepencarian dan Tuntutan Mas kahwin. Dan bagi Kes Jenayah pula, merangkumi kesalahan-kesalahan kecil yang melanggar Undang-undang Negeri yang hanya dendanya RM10.00 sahaja. Qadhi tiada di beri kuasa untuk menahan, menangkap atau mengeluarkan waran tangkap.

Manakala Undang-undang Pahang Bil 6 tahun 1937 menyatakan, kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam akan dibicarakan samaada di Mahkamah Penghulu, Mahkamah Qadhi, Mahkamah Majistret atau Mahkamah Tinggi. Kesalahan tidak hadir solat jumaat, akan dibicarakan di Mahkamah Penghulu, kesalahan bagi melarikan anak dara dan khalwat  dibicarakan di Mahkamah Majistret, kes zina di Mahkamah Tinggi dan kesalahan-kesalahan seperti makan di khalayak ramai di bulan Ramadhan, akan dibicarakan samaada di Mahkamah Penghulu, Mahkamah Qadhi atau di Mahkamah Majistret.

Bagaimanapun apabila Undang-Undang Pahang Bil.5 tahun 1956 dibuat, maka jelaslah bahawa bidangkuasa untuk  membicarakan kes-kes Mal dan Jenayah diberikan khusus kepada Mahkamah Qadhi atau Mahkamah Qadhi Besar sahaja. Juga telah digariskan cara-cara pelantikan Qadhi dan Qadhi Besar, perbicaraan dan Mahkamah UlangBicara. Dengan adanya Undang-Undang baru ini, maka bangunan Mahkamah Syariah mula didirikan disetiap daerah Qadhi.

Pada tahun 1984, Parlimen telah meluluskan tambahan kuasa hukuman kepada Mahkamah Syariah dengan menaikkan denda maksima sebanyak RM 5000, penjara tiga tahun dan rotan sebanyak enam kali sebatan. Berikutan itu, badan Perundangan Negeri pada tahun 1987 telah meluluskan pindaan kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang 1982 dengan menaikkan kadar denda, penjara dan rotan bagi kes-kes yang berat dan serius. Apabila Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Pahang diluluskan pada 28hb November 1991 oleh Dewan Undangan Negeri dan berkuatkuasa mulai 1 Januari 1992, maka disini bermulalah detik-detik perubahan kepada Mahkamah Syariah. Dulunya mahkamah-mahkamah ini dikenali dengan Mahkamah Qadhi Daerah, Mahkamah Qadhi Besar dan Mahkamah Ulangbicara, tetapi  pada masa kini, mahkamah-mahkamah tersebut telah bertukar kepada Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

Bidangkuasa perbicaran kes Mal dan Jenayah Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi Syariah juga turut berubah. Mahkamah Rendah Syariah dalam bahagian Mal diberi kuasa membicarakan kes-kes yang tidak melebihi seratus ribu ringgit atau yang tidak dapat dianggarkan dengan wang, manakala dalam kes jenayah pula kesalahan-kesalahan yang mana hukuman maksimum yang di peruntukkan tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Bagi Mahkamah Tinggi Syariah pula, kuasa yang diberi adalah menyeluruh dalam bidang kuasa Mal. Manakala bidang kuasa Jenayah pula membicarakan semua tindakan serta kesalahan yang diperuntukkan di bawah undang-undang lain yang memberi bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah untuk membicarakan apa-apa kesalahan dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan di dalamnya.

Begitu juga dengan gelaran Qadhi dan Qadhi Besar telah di gantikan dengan sebutan Hakim Mahkamah Rendah dan Hakim Mahkamah Tinggi. Manakala kedudukan jawatankuasa Ulangbicara dikenali dengan ‘ Panel Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah ‘ dan dipengerusikan oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie. Dari segi rayuan, dulunya boleh dibuat terus daripada Mahkamah Qadhi atau Mahkamah Qadhi Besar kepada Mahkamah Ulangbicara. Namun sekarang rayuan daripada Mahkamah Rendah Syariah akan di buat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dan sesuatu rayuan terhadap keputusan yang di buat oleh Mahkamah Tinggi Syariah akan di buat kepada Mahkamah Rayuan Syariah.

Antara enakmen yang diguna pakai di Mahkamah Syariah Negeri Pahang adalah :-

    Enakmen Pentadbiran Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang 1982      (Pindaan 1987).( Enakmen No 8 Tahun 1982)     Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1991.     Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2005. (Enakmen 3)     Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 2005.     Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002. (Enakmen No 9 Tahun 2002)     Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002. (Enakmen No 8 Tahun 2002)     Kaedah-kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Fi, Elaun dan Kos) 2005.     Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 (Enakmen 11).

Dari segi pentadbiran pula, Mahkamah Syariah masih di letakkan di bawah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), namun kerajaan negeri dengan persetujuan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang  (MUIP) dan perkenan KDYMM Sultan Pahang atas nasihat dan pandangan daripada Jawatankuasa Syariah/Sivil telah bersetuju supaya pentadbiran Mahkamah Syariah dipisahkan terus daripada pentadbiran  JAIP. Ekoran daripada itu, beberapa jawatan baru telah di wujudkan dan di luluskan oleh Kerajaan Negeri bagi maksud pengisian jawatan bagi organisasi baru Mahkamah Syariah Pahang. Di antaranya ialah jawatan Ketua Hakim Syarie, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Pendaftar, Pembantu Pendaftar dan beberapa jawatan dari segi pentadbiran. Maka dengan rasminya telah terpisah daripada pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang dan terbentuklah satu organisasi di Mahkamah Syariah Negeri Pahang. Dan seterusnya bermulalah sejarah baru bagi Kerajaan Negeri Pahang.

Secara rasminya, Jabatan Kehakiman Syariah Pahang telah ditubuhkan pada 19 Januari 1995 yang sebelum itu lebih dikenali sebagai Mahkamah Qhadi di Jabatan Agama Islam Pahang. Dengan penubuhan tersebut, ianya terpisah dari pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang dan mempunyai struktur organisasinya sendiri. Beribu pejabat di Kuantan, Pahang. Pada ketika itu lebih dikenali sebagai Mahkamah Syariah Pahang dan pada tahun 2005 telah ditukarkan nama kepada Jabatan Kehakiman Syariah Pahang.

bangunansejarah3Penubuhan Mahkamah Syariah diperuntukan di bawah Seksyen 42 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam No.3 Tahun 1991. Jabatan Kehakiman Syariah diletakkan di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri

Pahang ( SUK ) dan diketuai oleh Yang Amat Arif ( Y.A.A.) Ketua Hakim Syarie. Beliau juga dilantik  sebagai Pengerusi Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah. Di bawah pengawalannya terdapat dua orang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, seorang Ketua Pendaftar, tujuh orang Hakim Mahkamah Rendah Syariah serta beberapa kakitangan sokongan.Bagi melicinkan proses dan kemudahan kepada orang ramai, Jabatan Kehakiman Syariah Pahang mempunyai Mahkamah Rendah Syariah hampir di semua daerah dalam negeri Pahang.

Terdapat 13 buah Mahkamah Rendah Syariah di Negari Pahang iaitu di  Kuantan, Maran, Pekan, Muadzam Shah, Rompin, Temerloh, Bera, ( masih belum beroperasi ) Chenor, Bentong, Cameron Highlands, Jerantut, Kuala Lipis dan Raub. Manakala hanya terdapat 2 Mahkamah Tinggi Syariah iaitu Di Kuantan (Dikenali sebagai Mahkamah Tinggi Syariah Pahang) dan Di Bentong (Di kenali sebagai Mahkamah Tinggi Syariah Bentong).

Mahkamah Tinggi Syariah Pahang akan menjalankan Sebutan dan Perbicaraan bagi kes-kes Mahkamah Tinggi di sekitar Daerah Kuantan, Pekan, Rompin,  Maran, Muadzam Shah, Chenor dan Bera. Manakala Mahkamah Tinggi Syariah Bentong pula akan menjalankan sebutan dan perbicaraan bagi kes-kes di Daerah Bentong, Temerloh, Jerantut, Kuala Lipis, Raub dan Cameron Highlands. Jabatan Kehakiman Syariah Pahang turut mempunyai satu Mahkamah Rayuan yang akan menjalankan sebutan dan perbicaraan bagi kes-kes Rayuan di seluruh Negeri Pahang.

Kesimpulannya, penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Pahang adalah penting kerana ia merupakan tempat rujukan untuk menyelesaikan masalah kekeluargaan seperti nikah, penceraian, fasakh, judi, minum arak , khalwat dan sebagainya. Ia juga berfungsi untuk menjalankan segala urusan yang berkaitan dengan perundangan Islam mengikut Hukum Syara’ secara adil, cekap dan berkesan.

Anda Juga Mungkin Meminati

Saturday the 15th. Laman web rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Pahang | Syariah Asas Keadilan | Tel : 09-517 7966 | Fax : 09-513 4805 | e-mail : jksp@esyariah.gov.my.