Cetak
Butiran: Kategori: sejarah | Diterbitkan: 15 April 2017 | Hit: 2852
SEJARAH PERUNDANGAN ISLAM DI NEGERI PAHANG

wujudnya Enakmen Pentadbiran Agama Islam di Negeri Pahang Darul Makmur adalah sebab wujudnya orang-orang islam di negeri ini. mengikut catatan sejarah, sebelum tahun 1457m penduduk Negeri Pahang Darul Makmur tidak berapa jelas samaada telah menganut agama islam atau pun tidak ini adalah kerana Negeri Pahang Darul Makmur telah dikuasai oleh Maharaja Dewasura, iaitu wakil Kerajaan Siam di Pahang, beliau sudah tentu beragama Buddha, tetapi setelah Sultan Mansur Shah, Sultan Melaka yang mengambil langkah untuk menyerang Negeri Pahang dan telah Berjaya mengalahkan Pahang.  Maka dengan jatuhnya Pahang di bawah taklukan Melaka bererti Islamnya seluruh Negeri Pahang Darul Makmur. Ini kerana kuasa pemerintahan dipegang oleh orang islam Melaka, kira-kira 150 tahun lamanya Negeri Pahang diperintah oleh Raja Melayu Islam keturunan daripada Raja Melayu Melaka.

Jika perjumpaan kesan-kesan sejarah seperti batu nisan,batu bersurat dan lain-lain bukti dijadikan asas pertapakan Agama Islam di Semenanjung Emas ini,maka Negeri Kedah la dikatakan yang terawal menerima Islam.Penemuan Batu Nisan kepunyaan Syeikh Abd Kadir(keturuan Farsi)telah ditemui di Tanjung Aris Langgar pada tahun 1962 adalah bukti nyata mengenai hal tersebut.Tarikh yang tertera ialah antara(tidak dapat dipastikan)29H atau 290 H,jika 29H bersamaan 651M dan jika 290H bersamaan 920M,di Nisan tersebut tertera Kalimah Sahadah dan beberapa tulisan Arab(Mahyuddin Yahya:Islam Di Alam Melayu 1998.DBP h 18).

Negeri Pahang pula jika berdasarkan bukti yang sama,pada  Jun 1953,satu penemuan batu nisan di kampung Permatang Pasir Nenasi Pekan Pahang.Batu nisan ini dihiasi dengan Al-Quran dan syair Arab,juga tercatat tarikh kematian sipemunyai nya pada Hari Rabu,14 Rabiulawal 419H.Ini bermakna batu nisan ini jauh lebih lama dari Batu Bersurat Terengganu(702H) wang emas(dinar)lama Kelantan( 577H),juga bermakna lebih dahulu 300 tahun dari kewujudan Kerajaan Melaka.(Mohd Jamil Mukmin:Melaka Pusat Penyebaran Islam,2004 h 108).

PEMERINTAHAN MELAYU ISLAM DI PAHANG

Secara formalnya,sebelum tahun 1457m,penduduk Pahang tidak dapat dipastikan status agama mereka,mengikut beberapa catatan sejarah,waktu itu Pahang dikuasai oleh Maharaja Dewasura iaitu wakil Kerajan Siam.Agama Islam secara jelasnya tersebar sebaik sahaja pahang menjadi sebahagian Jajahan takluk Kerajaan Melayu Melaka.Sultan Mansur Shah waktu itu telah menghantar angkatan perang sebanyak 200 buah kapal ke Pahang,dimana armada perang diketuai sendiri oleh Tun Perak pada tahun 1459.Pertempuran telah berlaku di Pura,dimana akhirnya Maharaja Dewa Sura telah dikalahkan dan puterinya Wanan telah ditawan dan dibawa ke Melaka.Sultan kemudianya mengahwini puteri tersebut dan ditukar nama kepada Puteri Lela Wangsa.(Ibid:105)Tun Hamzah Seri Bija diRaja,dititahkan berada di Pahang ,sehinggalah Tun Muhammad(anak Sultan MS/Puter Lela Wangsa diusir kerana satu kes bunuh )ditabalkan dengan Tun Hamzah menjadi Bendahara.Tun Muhamad naik tahta(Sultan Pertama beragama Islam) pada tahun 1470M. Pemerintahan Negeri Pahang Berasaskan Undang-Undang Islam (1584)Hukum Qanun Pahang (1610-1614).

PERKEMBANGAN UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN ISLAM DI NEGERI PAHANG

Apabila Sultan Abdul Ghafur Muhyeden Shah menduduki tahta pada tahun 1584,beliau merupakan Sultan Pahang yang ke 12.Baginda telah berkahwin dengan Adinda Raja Fattani yang juga sahabat rapat Sultan Brunai.Pada zaman pemerintahan baginda,Risalah Hukum Kanun Pahang telah digubal.Dalam Risalah Hukum ini,ianya hampir menyamai 100% atau comply kepada proviso hukum hakam dalam kitab fiqh aliran Syafieyah.Malah menurut sejarawan hukum kanun ini adalah antara yang teratur dan lengkap.Terdapat silat2didalam proviso mengenai hukum qisas(S 46-47) denda(S 48),persetubuhan haram(S 49)persetubuhan luar biasa(S 50)  fitnah(S 51),minuman yang memabukan(S52)mencuri(S 53)merompak(S 54),murtad (S 55) tidak sembahyang (S 60) jihad (S 61) acara (S 62) saksi (S63) sumpah (S 64),terdapat juga proviso mengenai jualbeli,pelaburan,amanah,upah buruh,tanah,hibah dan waqaf.(Prof Ahmad Ibrahim:Undan-Undang Keluarga Islam di Malaysia h.2).Namun begitu satu perselisihan berlaku dalam tahun 1614m,dimana Sultan Abd Ghafur telah mati dibunuh.Kesan dari itu perlaksanaan hukum tersebut terganggu sama sekali.

Suasana politik sekitaran mempengaruhi banyak perkara di Negeri Pahang,sekitar awal hingga pertengahan kurun ke 17 M Pahang telah diancam dan diserang oleh Aceh,Johor,Belanda hingga Pahang ,sehingga Pahang pernah dibawah takluk Aceh.Apabila pengaruh Aceh lemah,Pahang dikuasai pula oleh Johor.Mulai suku pertama kurun ke 18M(bawah penguasaan Johor) pemerintahan Pahang dikendalikan oleh seorang Bendahara.

Setelah Belanda dan British mula menguasai dan memecahbelahkan wilayah Kerajaan Johor-Riau-Lingga-Pahang,bermulalah penguasaan sepenuhnya Bendahara memerintah Pahang.namun tidak lama kemudian berlaku perang saudara(1857-1863) yang akhirnya Pahang dapat dikuasai oleh Bendahara Wan Ahmad dan memakai gelaran DYMM Sultan,lalu membentuk kesultanan baru di Pahang hingga ke hari ini.

 SEJARAH PERUNDANGAN ISLAM DI MALAYSIA
 

Masih ada lagi yang mentafsir agama Islam dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan tafsiran yang sempit; iaitu bersifat upacara dan istiadat sahaja. Kefahaman ini merujuk kepada penggunaan Islam dalam upacara-upacara rasmi seperti ucapan basmalah dan bacaan doa semasa upacara pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

Apabila Islam dijadikan sebagai agama Persekutuan, tanpa menafikan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai, maka ia sewajarnya perlu diterjemahkan sebagai agama negara. Sekali gus agama Islam wajar menerima keistimewaan-keistimewaan tertentu dalam urusan-urusan kenegaraan dan pemerintahan. Sumpah Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang diperuntukkan dalam Jadual Keempat Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan turut memberi pengukuhan bahawa agama Islam bukan sekadar berfungsi sebagai hiasan untuk upacara-upacara rasmi malahan juga sebagai teras undang-undang negara.

Kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan realiti hari ini sebagai reflleksi atau kesan kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam sejarah. Ia termasuklah berhubung soal-soal yang berkaitan dengan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan sultan-sultan yang menjadi ketua agama Islam negeri-negeri.

Pelajaran sejarah diajar kepada murid-murid sejak di bangku sekolah rendah lagi bagi melahirkan warganegara yang cintakan negara, berjiwa patriotik dan bersatu hati. Ia juga bertujuan untuk membentuk individu yang bersyukur terhadap nikmat kemerdekaan dan kebebasan yang diraih selepas tamatnya fasa perjuangan yang menuntut pengorbanan darah dan air mata.

Namun malangnya selepas 53 tahun kemerdekaan, dan selepas 47 tahun Persekutuan Tanah Melayu diberi nama sebagai Malaysia, agama Islam sebagai agama Persekutuan masih tidak menerima pentafsiran yang sewajarnya. Tidak keterlaluan jika dirumuskan bahawa situasi yang malang ini antaranya adalah disebabkan rakyat Malaysia tidak memahami, malah mungkin juga sebenarnya tidak mengetahui langsung tentang latar belakang atau sejarah Undang-undang Islam di Tanah Melayu/Malaysia.

Selaras dengan perkara ini juga, pada pengamatan penulis, bukanlah tafsiran yang matang sekiranya pentafsiran terhadap Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan bersumberkan hasil kajian perundangan sekadar dalam tempoh Tanah Melayu menerima campur tangan British dalam soal-soal pemerintahan dan pentadbiran. Ini kerana agama Islam yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan bukanlah agama Islam yang dibentuk semula oleh British, bahkan agama Islam tulen yang diterima oleh rakyat tempatan pada awal abad ke-14 di negeri Terengganu. Malah, kalangan sarjana sejarah tidak menolak kemungkinan negara ini menerima agama Islam lebih awal dari masa berkenaan.

Sehubungan perkara ini, apabila kerajaan Melayu Melaka menerima Islam, maka Hukum Kanun Melaka digubal dengan menjadikannya sebagai undang-undang kerajaan Melayu Melaka yang wajib dipatuhi oleh rakyat dan para pendatang pada masa itu. Hukum Kanun Melaka merupakan undang-undang yang disusun oleh Hang Sidi Ahmad atas perintah Sultan Muhammad Syah dan disempurnakan semasa pemerintahan anakanda baginda, Sultan Muzaffar Syah.

Pengkanunannya berasaskan Undang-undang Islam mengikut pandangan Imam Shafii dan Imam Ahmad yang turut menyertakan adat-adat Melayu. Dan hukum atau undang-undang bertulis ini kemudiannya dijadikan sebagai rujukan dalam penggubalan undang-undang negeri seperti Johor, Perak dan Pahang. Dalam kurun ke-19, Sultan Pahang pada ketika itu memaklumkan kepada pihak British, kes pembunuhan seorang pendatang Cina, Goh Hui, akan diadili mengikut Undang-undang Pahang yang memperuntukkan qisas dan diyat.

Undang-undang Islam di Tanah Melayu berkembang dengan bentuk yang tersendiri apabila British meletakkan pengaruhnya secara dominan dalam sistem pentadbiran, kehakiman dan pemerintahan negara.

Dalam kes Re Omar bin Shaik Salleh lwn Mariambee, Hakim Jobling tanpa ragu-ragu mengumumkan bahawa Undang-undang Islam bukan sebahagian daripada undang-undang Singapura pada ketika itu. Walau bagaimanapun, sebaliknya Hakim Gordon Smith menyatakan bahawa Undang-undang Islam adalah sebahagian daripada undang-undang yang berkuat kuasa di Pahang pada awal tahun 1940-an dalam kes The Official Administration FMS lwn Magari Mohihiko. Begitu juga dalam kes Shaik Abdul Latif lwn Shaik Elias Bux, Re-Ismail Rentah dan Siti lwn Mohamed Nor, kanun perwarisan orang Islam telah diterima pakai di negeri-negeri Melayu.

Ini menunjukkan bahawa, walaupun sesetengah hakim Inggeris menolak hukum Islam dalam membuat keputusan, tetapi ia tidak bermakna Undang-undang Islam pada ketika itu telah dimatikan fungsinya. Malah, sebahagian hakim Inggeris telah menjadikan Undang-undang Islam atau adat orang Melayu yang tidak bertentangan dengan hukum syarak sebagai asas kepada pertimbangan mereka untuk mencapai keputusan tertentu.

Ketidakseragaman yang berlaku ketika mengambil asas pertimbangan dalam penghakiman menunjukkan kebebasan sikap British ketika mencampuri urusan negara kita. Maka menjadi tanggungjawab kita pada hari ini untuk memurnikan semula tafsiran-tafsiran terhadap undang-undang negara. Pandangan yang mengatakan bahawa Tanah Melayu sebenarnya tidak dijajah tetapi lebih sebagai negara yang dilindungi (protected state) juga sewajarnya menjadi wacana negara yang perlu diberi perhatian kerana ia menyentuh secara langsung kedaulatan agama Islam. Pemurnian tidak akan berlaku dengan sempurna dan saksama melainkan setiap warganegara mempunyai pengetahuan dan benar-benar memahami sejarah Undang-undang Islam di Malaysia.

Rujukan :

Artikel ini Sumbangan daripada:
Tuan Muhammad Azhari bin Abd Rahman
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Bentong
Jabatan Kehakiman Syariah Pahang  : http://tmaarh66.blogspot.com

Sejarah Undang-undang Islam Di Malaysia: Kemestian Untuk Memahaminya : Written by Siti Shamsiah Binti Md Supi. Posted in Utusan Malaysia
http://www.ikim.gov.my/index.php/en/utusan-malaysia/8204-sejarah-undang-undang-islam-di-malaysia-kemestian-untuk-memahaminya